Help Me To Spread Islam Because Of Allah / Bantulah Aku Menyebarkan Agama Islam Kerana Allah

Semua Hakcipta Adalah milik Allah Kerana Ilmu Allah Sangat Luas Dan Tiada Sebarang Larangan Jika Hendak Copy Sebarang Article Dari Sini Atas Tujuan Menyebarkan Islam(ILMU).

Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".( surah Ibrahim : 7 )


Maka Dengan Itu Ucapkan Syukur Alhamdulillah Kerana Allah sentiasa memberikan Petunjuk dan Hidayahnya kepadaku, memberikan Kesihatan kepadaku, memberikan kejayaan hidup kepadaku Dan memberikan Kekayaan harta kepadaku Dan juga Bersyukur sangat sangat atas segala nikmat yang diberikan kepadaku.

Ya Allah Ya Tuhanku, Ya Allah Wahai Tuhan yang Maha Penyayang. Wahai Tuhan yang memiliki Arash yang mulia, Wahai Tuhan yang Maha Mencipta, Wahai Tuhan yang Maha Berkuasa Mengembalikan, Wahai Tuhan yang Maha Berkuasa melakukan apa yang dikehendaki, Kami bermohon kepadaMu dengan cahaya keAgunganMu yang meliputi ArashMu, dengan kekuasaanMu yang Engkau telah tentukan ke atas seluruh makhlukMu, dengan rahmatMu yang meliputi setiap sesuatu. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Wahai Tuhan yang menolong orang-orang yang meminta pertolongan, ku mohon kepadamu Ya Allah sesiapa pun yang membaca blog ini engkau rahmatilah mereka, berilah hidayah kepada mereka, bukalah hati mereka, pimpinlah mereka ke jalan yang benar kearah jalan yang diredhai oleh mu. Amin Ya Allah.

Baca Quran Online - klik link kat bawah

Membaca Quran - Dengan Suara Dan Terjemahannya. -Klik Sini-
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka bersifat yang demikian ialah orang-orang yang berjaya. ( surah Ali Imran : 104 )

Jangan Lupa Untuk Berselawat Keatas Rasulullah S.A.W.

Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul kami (Muhammad s.a.w) yang menerangkan kepada kamu (akan syariat Islam) ketika terputusnya (kedatangan) Rasul-rasul (yang diutus), supaya kamu tidak (berdalih) dengan berkata (pada hari kiamat): Tidak datang kepada kami seorang pun pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran (yang mengingatkan kami). Kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. ( Surah Al Maidah : 19 )

Sunday, September 23, 2007

Kehidupan yang sederhana

Tanbihul Ghafilin (Peringatan bagi yang lupa)

Dengan nama Allah s.w.t. yang Maha Agung, Maha Pemurah, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pengampun dan segala Puji-pujian serta Kebesaran yang selayak dengan Kekuasaan-Nya yang mengandungi Keberkatan, Kelazatan, Kemanisan, Ketenangan dan Ketenteraman yang tidaklah tersembunyi kepada orang yang pernah menyebut nama yang suci itu dan pernah mencintai-Nya buat beberapa lama.

Sabda junjungan Agung kita semua umat Islam Baginda Rasulullah s.a.w: "Ballighu anni walau aayah" (Sampaikanlah apa yang kamu dapat daripadaku walau hanya satu ayat)

Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda:"Kezuhudan merupakan pertaruhan bagi seorang mukmin." Baginda s.a.w. pernah berkata:"Allah s.w.t. telah menawarkan kepadaku hendak menukarkan bukit-bukau diMekah menjadi emas tetapi aku menadahkan tangan ku kepadaNya sambil berkata:"Ya Allah, aku suka makan pada satu hari dan berlapar pada hari berikutnya supaya aku dapat mengingatiMu apabila lapar dan memuji-mujiMu serta mensyukuriMu apabila kenyang."

Pada suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w.telah berpisah selama sebulan daripada isteri-isterinya kerana salah seorang daripada mereka telah menyinggung perasaannya. Selama sebulan Baginda s.a.w. tinggal berseorangan dalam sebuah bilik. Suatu khabar angin yang tersebar dikalangan para sahabat mengatakan Nabi Muhammad s.a.w. telah menceraikan isteri-isteri Baginda s.a.w..

Apabila Umar r.a.hu mendengar berita angin tersebut, dia pun berlari-lari kemasjid. Setibanya dia dimasjid ia dapati sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w. sedang duduk termenung dan kesedihan jelas terbayang diwajah mereka. Meninggalkan mereka,Umar r.a.hu berjalan pula kerumah anaknya Hafsah yang menjadi isteri Nabi Muhammad s.a.w.Dia mendapati Hafsah menangis-nangis didalam biliknya. Dia bertanya:"Mengapa kamu menangis? Bukankah selama ini aku telah melarang kamu supaya jangan melakukan sesuatu yang mungkin menyinggung perasaan Nabi Muhammad s.a.w.?"

Kemudian dia berjalan kemasjid sekali lagi. Kelihatan olihnya beberapa orang sahabat sedang menangis berdekatan dengan mimbar.Disini dia duduk bersama-sama sahabat yang lainnya tetapi oleh kerana terlalu sedih dia bangun lalu berjalan kearah bilik Nabi Muhammad s.a.w. yang terletak ditingkat atas masjid itu. Dia mendapati Rabiah, seorang hamba, sedang menduduki tangga bilik itu. Melalui Rabiah, dia meminta izin hendak berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w.

Nabi Muhammad s.a.w.tidak melahirkan sepatah katapun sebagai menjawab permintaannya. Permintaannya untuk menemui Nabi Muhammad s.a.w.dibuat beberapa kali dan hanya pada kali yang ketiga sahaja Nabi Muhammad s.a.w. mengizinkan dia naik. Apabila ia masuk, ia dapati Nabi Muhammad s.a.w. sedang berbaring diatas sekeping tikar yang diperbuat daripada daun pokok tamar. Kesan-kesan tikar itu jelas kelihatan berbekas dibadan Nabi Muhammad s.a.w.Berdekatan dengan Baginda s.a.w. terdapat sebuah bantal yang diperbuat daripada kulit binatang dan yang disumbat dengan kulit-kulit pohon tamar.

Umar r.a.hu bercerita:

"Saya menyampaikan salam kepadanya lalu bertanya: 'Sudahkah Tuan menceraikan isteri-isteri Tuan?" Bagimda s.a.w. menafikan perkara itu. Saya merasa agak lega sedikit dan sambil berseloroh saya mengatakan:"Ya Rasulullah, kita kaum Quraish selamanya telah menguasai wanita-wanita kita tetapi keadaan berlainan sungguh dengan orang-orang Ansar. Mereka dikuasai wanita-wanita mereka sehingga wanita-wanita kita telah terpengaruh." Nabi Muhammad s.a.w.. tersenyum mendengar kata-kata saya yang agak lucu itu. Selepas itu saya memerhati keadaan didalam bilik itu. Saya lihat ada tiga keping kulit binatang yang telah disamak dan sedikit barli disuatu sudut. Selain dari itu tidak ada sesuatu apa pun. Saya lalu menangis. Nabi Muhammad s.a.w. bertanya:"Mengapa kamu menangis?" Saya menjawab:"Betapa tidak, Ya Rasulullah, saya sedih melihat bekas-bekas tikar yang Tuan tiduri dibadan Tuan dan sedih melihat keadaan bilik ini. Semuga Allah s.w.t. mengurniakan Tuan dengan bekalan-bekalan yang lebih banyak. Orang-orang Parsi dan Rumawi yang tidak menyembah Allah s.w.t. mempunyai raja yang mewah. Mereka hidup ditaman yang ditengah-tengahnya mengalir anak-anak sungai sedangkan Pesuruh Allah s.w.t. hidup didalam keadaan serba miskin."

Semasa saya mengeluarkan kata-kata tadi, Nabi Muhammad s.a.w.. sedang bersandar dibantal, Baginda s.a.w. lantas bangun dengan serta merta dan berkata:"Wahai Umar, nampaknya kamu masih didalam keraguan. Kesenangan dan keselesaan hidup yang bakal kita perolehi diakhirat nanti sudah tentu lebih baik daripada apa yang terdapat didunia ini. Kalau didunia ini mereka hidup senang dan mewah, keadaan akan berubah diakhirat kelak. Disana kita yang akan menikmati segala-galanya."Mendengar kata-kata Nabi Muhammad s.a.w.saya berasa kesal lalu berkata:"Ya Rasulullah, berdoalah kepada Allah s.w.t. agar Dia mengampuni saya. Saya telah bersalah didalam hal ini."

Seorang hamba Allah telah bertanya kepada Aishah mengenai tikar bantal Nabi Muhammad s.a.w. Jawab Aishah:"Ianya terdiri dari sebuah bantal yang diperbuat daripada kulit binatang yang diisikan dengan kulit-kulit pohon tamar." Soalan yang sama dikemukakan kepada Hafshah. Dia menjawab:"Ianya terdiri dari sehelai kain tarpal yang dilipat dua. Pada suatu hari, untuk memberi keselesaan kepada Nabi Muhammad s.a.w.saya telah menghamparkan kain itu berlipat empat. Pada esok paginya itu Nabi Muhammad s.a.w. bertanya:"Apakah yang awak hamparkan untuk saya malam tadi?" Saya menjawab:"Kain yang sama tetapi berlainan lipatannya." Nabi Muhammad s.a.w.berkata:"Lipatkannya seperti dahulu. Keselesaan yang bertambah itu akan menghalangkan Tahajjud."

ABU HURAIRAH DAN KELAPARAN

Pada suatu hari, Abu Hurairah telah membersihkan hidungnya dengan sehelai setangan yang cantik. Kemudian dia bercakap seorang diri:"Ah, lihat akan Abu Hurairah! Dia membersihkan hidungnya dengan menggunakan setangan yang cantik. Teringat aku semasa aku biasanya berbaring diantara mimbar dengan rumah Nabi Muhammad s.a.w.. Orang menyangka yang aku sedang menghidapi penyakit sawan tetapi yang sebenarnya aku sedang menderita kelaparan."

Abu Hurairah mengalami kelaparan selama beberapa hari sehinggakan kadangkala kelaparan yang dialaminya itu cukup dahsyat hingga dia jatuh pingsan. Orang yang melihat keadaannya menyangka dia terkena penyakit sawan. Pada masa itu penderita-penderita penyakit sawan diubati dengan cara meletakkan kaki dilehernya. Penderitaan Abu Hurairah ini berlaku semasa Islam mula bertapak ditanah Arab. Apabila Islamtelah tersebar dengan luasnya, keadaan hidupnya agak mewah dan suka menunaikan sembahyang-sembahyang Nafilah. Dia mempunyai sebuah uncang yang penuh dengan biji-biji buah tamar yang digunakannya untuk berzikir. Dirumahnya sentiasa terdapat orang yang sibuk bersembahyang.

ABU BAKAR DAN WANG SARANYA DARI BAITULMAL

Sebelum menjadi Khalifah, Abu Bakar r.a.hu menjadi seorang peniaga kain. Setelah Nabi Muhammad s.a.w. wafat, dia telah dilantik sebagai Khalifah. Pada keesokan harinya, dengan kain-kain tersebai ditangannya, dia berjalan menuju kepasar kerana hendak berniaga seperti biasa. Dalam perjalanannya itu dia telah menemui Umar.

Umar bertanya: "Kemana kau, Abu Bakar?"

Abu Bakar menjawab: "Ke pasar."

Umar berkata: "Kalau kamu berniaga, siapa yang hendak menjalankan tugas-tugas Khalifah?"

Abu Bakar: "Bagaimana saya hendak menyara keluarga saya?"

Umar: "Marilah kita berjumpa dengan Abu Ubaidah yang menjaga Baitulmal supaya dia menentukan wang sara untuk mu."

Kedua-dua mereka telah berjumpa dengan Abu Ubaidah yang menetapkan wang sara sebanyak yang biasanya diberikan kepada seorang muhajir.

Pada suatu hari isterinya berkata kepada Abu Bakar: "Saya ingin memakan suatu masakan yang manis"

Abu Bakar: "Aku tak ada wang."

Isterinya: "Kalau awak izinkan saya akan cuba menjimatkan wang perbelanjaan kita hari-hari untuk membolehkan saya menyediakan masakan itu."

Abu Bakar pun bersetuju. Apabila wang itu telah terkumpul selepas beberapa hari, isterinya pun menyerahkan wang itu kepada Abu Bakar supaya dia membeli bahan-bahan untuk masakan itu.

Kata Abu Bakar: "Nampaknya wang sara yang saya perolehi dari Baitulmal melebihi keperluan kita."

Wang yang dikumpulkan itu dimasukkan kembali ke dalam Baitulmal

Aishah r.a.hu mengisahkan: "Apabila Abu Bakar dilantik menjadi Khalifah, dia telah berucap kepada orang ramai. Katanya: "Kamu sedia maklum yang saya mencari nafkah dengan berniaga. Keuntungan yang saya perolehi cukup untuk memenuhi keperluan saya, tetapi sekarang saya terpaksa menumpukan masa yang sepenuhnya untuk menguruskan negara. Oleh yang demikian wang sara saya terpaksa saya dibayar dari Baitulmal."

Mengikut Anas apabila Abu Bakar meninggal, yang ada padanya hanyalah seekor unta betina, sebuah mangkuk dan seorang hamba. Kata sahabat-sahabatnya yang lain dia telah meninggalkan juga sehelai hamparan. Apabila Umar menggantinya sebagai Khalifah, barang-barang ini semuanya diserahkan kepadanya. Umar berkata: "Semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat atas Abu Bakar. Dia telah menunjukkan jalan yang sukar diikuti oleh pengganti-penggantinya."

WANG SARA UNTUK UMAR

Umar r.a.hu mencari rezekinya dengan berniaga. Apabila dia mengganti Abu Bakar sebagai Khalifah dia telah mengumpulkan rakyat sekeliannya lalu berucap kepada mereka:"Aku mencari makan dengan berjual-beli. Oleh kerana kamu semua telah memilih aku untuk menjadi Khalifah, aku tidak dapat lagi menguruskan perniagaanku. Sekarang bagaimana dengan pencarianku?"

Berbagai-bagai syor telah dikemukakan mengenai pembayaran yang sepatutnya dibuat kepada Umar. Ali tidak membentangkan sebarang cadangan.

Umar bertanya kepada Ali: "Apakah cadanganmu, wahai Ali?"

Ali menjawab: "Ambillah wang sekadar yang bisa mencukupi keperluan keluargamu."

Cadangan Ali diterima dengan baiknya oleh Umar. Setelah beberapa lama kemudian, beberapa orang termasuk Ali, Usman, Zubair dan Talhah mencadangkan supaya wang saranya ditambahkan lagi, tetapi tiada seorang pun diantara mereka yang berani secara langsung mengemukakan cadangan ini kepada Umar. Akhirnya mereka terpaksa menemui Hafsah, anak perempuan Umar, untuk mendapatkan kerjasama.

Apabila ura-ura hendak menambah wang saranya dibayangkan kepadanya oleh Hafsah, mukanya menjadi merah padam kerana kemarahannya. Dia bertanya:"Siapakah yang membuat cadangan ini?"

Hafsah: "Berikan pendapat kamu terlebih dahulu."

Umar: "Kalaulah aku tahu siapa orang-orang itu nescaya aku tempelengkan muka-muka mereka. Cerita kepadaku,Hafsah,tentang pakaian Nabi Muhammad s.a.w. yang terbaik sekali."

Hafsah: "Sepasang baju yang berwarna merah yang Nabi Muhammad s.a.w. pakai pada hari Juma'at ataupun apabila menerima tetamu."

Umar: "Apakah makanan yang paling lazat yang pernah dimakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dirumah kamu?"

Hafsah: "Roti yang diperbuat daripada tepung barli. Pada suatu hari saya telah menyapu sekeping roti dengan bekas-bekas mentega yang terdapat didalam sebuah tin yang hampir-hampir kosong. Baginda s.a.w. telah makan dengan penuh nikmat dan ingin pula membahagi-bahagikannya kepada orang lain."

Umar: "Apakah hamparan yang paling baik yang pernah digunakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dirumah kamu?"

Hafsah: "Sehelai kain tebal. Pada musim panas kain itu dilipat empat dan pada musim sejuk ianya dilipat dua. Separuh digunakan sebagai alas tidurnya dan separuh lagi dijadikannya selimut."

Umar: "Nah sekarang, pergi katakan kepada mereka yang Nabi Muhammad s.a.w. telah merakamkan suatu darjah kehidupan yang terpaksa aku ikuti. Nabi Muhammad s.a.w., Abu Bakar dan aku sendiri adalah laksana tiga orang musafir yang menggunakan sebatang jalan yang sama. Yang pertama telah sampai ketempat yang ditujuinya. Begitu juga musafir yang kedua. Yang ketiga sekarang dalam perjalanannya. Kalau ia tidak menempuhi jalan mereka yang terdahulu, sudah tentu ia tidak akan sampai ditempat mereka."

Pada suatu hari dia sedang berkhutbah. Bahagian bawah bajunya kelihatan bertampal-tampal. Mengikut ceritanya, terdapat tidak kurang daripada dua belas lubang yang ditampal dengan kulit. Pada suatu ketika dia tiba lambat dimasjid untuk menunaikan fardu Juma'at. Dia berkata pada para jamaah: "Maafkan saya. Saya terlambat kerana sibuk membasuh kain baju saya. Saya tidak ada yang lain untuk dipakai."

Utbah Bin Abifarqad hendak berjumpa dengan Umar pada suatu hari. Ketika itu dia sedang makan, selepas mengizinkan Utbah masuk dia menjemput Utbah makan bersama-sama. Roti yang diberikan kepadanya terlalu keras sehingga ia tidak dapat menelannya. Dia pun bertanya:"Mengapa tuan tidak menggunakan tepung yang baik untuk membuat roti?"

Umar: "Adakah tiap-tiap orang Islam mampu menggunakan tepung yang baik untuk membuat roti?"

Utbah: "Tidak"

Umar: "Nampaknya kamu mahukan aku menikmati segala jenis kebahagiaan dalam kehidupanku didunia ini."

CERITA BILAL MENGENAI NABI MUHAMMAD S.A.W.

Bilal telah ditanya mengenai perbelanjaan Nabi Muhammad s.a.w. Dia menjawab:"Baginda s.a.w tidak pernah menyimpan sesuatu untuk kegunaan pada masa depan. Sayalah yang menguruskan wang bagi pihaknya. Apabila datang seorang fakir yang sedang menderita kelaparan, orang itu akan diserahkannya kepada saya. Saya pun akan memenuhi keperluan orang itu dengan meminjamkan wang."

" Pada suatu hari datang seorang mushrik lalu berkata: "Wang saya terlampau banyak. Kalau kamu berkehendakkan wang datanglah berjumpa dengan saya. Janganlah meminjam dari orang lain."

"Saya berasa gembira dengan tawaran ini. Saya pun mulai meminjam wangnya untuk memenuhi keperluan Nabi Muhammad s.a.w. Pada suatu hari selepas mengambil wudhu, saya sedang bersiap-siap untuk berazan, tiba-tiba datang orang mushrik itu diikuti oleh beberapa orang lain. Dia memekik-mekik memanggil saya, apabila saya mendapatkannya, dia telah mengeluarkan kata-kata yang kesat terhadap saya.

Katanya: "Ada beberapa hari lagi dalam bulan ini?" Saya menjawab: "Bulan ini hampir genap." Dengan marahnya dia berkata: "Ada empat hari lagi untuk kamu menyelesaikan hutang-hutang kamu. Kalau kamu gagal menjelaskannya, aku akan jadikan kamu hambaku dan kamu terpaksa mengembala kambing seperti dahulu." Kemudian dia pun meninggalkan saya. Saya merasa sangat dukacita. Selepas sembahyang Isyak, apabila Nabi Muhammad s.a.w. duduk berseorangan, saya pun mendekati Baginda s.a.w.. Kata saya: "Ya Rasulullah ,Tuan tidak mempunyai sesuatu apa pun dan saya pula tidak dapat menguruskan pinjaman serta merta. Saya rasa si-mushrik itu akan memalukan saya. Oleh itu saya akan pergi dari sini sehingga saya mendapat wang untuk menjelaskan hutang saya itu."

Sekembali saya kerumah, saya mengemaskan pedang, perisai dan kasut kepunyaan saya kerana bersiap-siap untuk berpergian pada pagi esoknya. Hampir-hampir waktu Subuh datang seorang utusan Nabi Muhammad s.a.w. sambil berkata: "Lekas, Nabi Muhammad s.a.w. ingin berjumpa dengan engkau." Saya pun segeralah berangkat kemasjid. Disana saya dapati empat ekor unta yang sarat dengan bebanan. Kata Nabi Muhammad s.a.w.:"Ada berita gembira, wahai Bilal. Allah s.w.t. telah meyampaikan pengurniaanNya untuk menjelaskan hutangmu. Ambillah unta-unta ini serta muatan mereka. Barang-barang ini telah dihantar kemari sebagai hadiah untuk ku oleh puak Fidak." Saya mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t. lalu menjelaskan semua hutang saya. Apabila saya balik kemasjid saya berkata kepada Nabi Muhammad s.a.w. :"Alhamdulillah, hutang saya telah pun dijelaskan Ya Rasulullah " Baginda s.a.w. bertanya sama ada masih ada yang tertinggal dan saya menjawab:"Ya Rasulullah," Baginda s.a.w. meminta saya habiskannya dan Baginda s.a.w. mengatakan yang Baginda s.a.w. tidak akan balik kerumah selagi barang tersebut masih ada."

Saya pun pergilah untuk membahagi-bahagikan baki barang-barang yang masih tinggal kepada fakir miskin. Selepas Isyak, Nabi Muhammad s.a.w. bertanya kalau-kalau masih ada lagi barang-barang itu. Saya menjawab mengatakan yang tidak ada lagi kerana terdapat ramai fakir miskin untuk dibahagi-bahagikan barang-barang tersebut. Pada malam itu Rasulullah s.a.w. tidur dimasjid. Esoknya itu,selepas Isyak, Rasulullah s.a.w. bertanya lagi tentang berang-barang itu.Saya berkata :"Ya, Allah telah memberkati Tuan dengan ketenteraman jiwa. Semua barang-barang itu telah saya habiskan. Nabi Muhammad s.a.w. pun memuji-muji Allah s.w.t. Pada malam itu barulah Baginda s.a.w balik kerumah. Nabi Muhammad s.a.w. tidak suka menghadapi maut selagi ada harta kekayaan ditangannya.

LAGI KISAH KELAPARAN ABU HURAIRAH

"Kalau awak perhatikan keadaan kami dahulu awak akan dapati yang sebahagian daripada kami tidak dapat berdiri kerana menderita kelaparan selama beberapa hari. Saya akan berbaring sambil menekan-nekan perut saya ketanah. Kadang-kadang saya akan mengikat perut saya dengan batu. Pada satu ketika saya sengaja duduk-duduk menunggu kalau-kalau ada oarng-orang yang terkenal lalu ditempat saya berada. Tidak lama kemudian datang Abu Bakar. Saya pun bercakap-cakap dengannya, dengan harapan yang saya dapat berjalan-jalan sehingga tiba kerumahnya,dimana mungkin saya dipelawa masuk untuk makan malam bersama-sama dengannya sepertimana yang biasa berlaku, tetapi impian saya tidak tertunai. Abu Bakar tidak bercakap banyak dengan saya. Rancangan saya gagal untuk kali kedua apabila Umar pun berlalu dari situ. Akhirnya datang Nabi Muhammad s.a.w. , Baginda s.a.w.tersenyum lebar lebar apabila melihat saya kerana Baginda s.a.w. telah dapat menangkap dengan cepatnya keinginan saya yang tersembunyi itu.

Kata Baginda s.a.w.: "Mari ikut aku, Abu Hurairah." Saya pun mengikutnya kerumah, apabila kami masuk kerumahnya, semangkuk susu telah dibawa kehadapan Baginda s.a.w., lalu Baginda s.a.w. bertanya: "Siapa yang membawa susu ini?" Baginda s.a.w. diberitahu bahawa susu itu adalah pemberian seorang hamba Allah. Kemudian Baginda s.a.w.menyuruh saya mengundang orang-orang Suffah supaya datang kerumah. Orang-orang Suffah ialah manusia miskin yang tidak berumahtangga dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Mereka biasanya menjadi tetamu kepada semua kaum Muslimin. Nabi Muhammad s.a.w. akan membahagi-bahagikan mereka diantara sabahat-sahabat yang berada. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri akan menerima dua orang Suffah sebagai tetamu. Bilangan orang-orang Suffah ini pula tidak menentu, terkadang-kadang banyak dan terkadang-kadang sedikit, tetapi pada hari itu jumlah orang Suffah berjumlah tujuh puluh orang semuanya.

"Apabila Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh saya mengundang para Suffah itu saya berasa ragu mengenai peluang untuk mengisi perut saya yang kosong, sebabnya ialah susu itu terlalu sedikit, hanya cukup untuk seorang sahaja. Lagi pula saya telah mengetahui terlebih dahulu yang saya akan disuruh melayan orang-orang itu. Mengikut kebiasaan orang yang melayan merupakan orang yang terakhir sekali yang akan merasai sesuatu hidangan. Sebaik-baik sahaja orang-orang Suffah itu berkumpul, saya disuruh oleh Nabi Muhammad s.a.w. memegang mangkuk susu tadi utnuk membolehkan tiap-tiap seorang untuk meminumnya. Seorang demi seorang mereka itu telah meminum susu itu dengan sepuas-puasnya, kemudian Nabi Muhammad s.a.w. berkata sambil tersenyum: "Hanya kita berdua sahaja yang tinggal maka sekarang kamu minumlah." Apatah lagi, saya pun tidak membuang masa lalu saya minum susu tersebut sehingga terasa oleh saya yang tidak ada tempat kosong dalam perut saya untuk mengisi susu itu. Akhirnya Nabi Muhammad s.a.w. pula meminum susu yang masih berbaki didalam mangkuk itu."

PENDAPAT NABI MUHAMMAD S.A.W. MENGENAI DUA JENIS MANUSIA

Pada suatu hari Nabi Muhammad s.a.w.sedang duduk-duduk dengan beberapa orang sahabatnya. Seketika itu juga lalu seorang hamba Allah dihadapan mereka. Nabi Muhammad s.a.w. pun bertanya: "Apakah pendapat kamu terhadap orang itu?" Mereka menjawab: "Ya, Rasulullah , dia berketurunan bangsawan. Demi Allah, kalau dia melamar seorang perempuan dari kaum bangsawan juga, lamarannya sudah tentu tidak akan ditolak. Kalau dia menganjurkan sesuatu perkahwinan, perkahwinan itu akan dipersetujui oleh kedua-dua pihak."

Nabi Muhammad s.a.w. tidak berkata apa-apa. Sebentar kemudian lagi seorang hamba Allah telah lalu dihadapan mereka, lalu Nabi Muhammad s.a.w. bertanya pula mengenai orang itu. Kata mereka:" Dia seorang Islam yang miskin. Kalau pun dia bertunang dengan seorang perempuan, peluangnya untuk mengahwini perempuan itu sudah tentu tipis. Kalau dia menganjurkan sesuatu perkahwinan, anjurannya itu akan gagal. Kalau dia bercakap tidak ada orang yang akan mendengarnya." Nabi Muhammad s.a.w. berkata:" Orang yang kedua itu lebih baik daripada orang yang pertama."

Allah s.w.t. tidak memandang akan keturunan seseorang. Seorang Islam yang miskin, yang hina dina dan dipandang rendah oleh insan semuanya itu lebih dekat dengan Allah s.w.t. daripada beratus-ratus orang yang kononnya bangsawan dan yang dimuliakan serta dijilat-jilat oleh manusia lain.

Dalam sepotong hadith, Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda:"Riwayat mayapada akan tamat kalau tidak ada seorang manusia pun yang memuji-muji nama Allah s.w.t.. Hanya nama Allah s.w.t. yang kudus sahaja yang menghidupkan alam ini."

KASIH SAYANG RASULULLAH S.A.W DAN KEMISKINAN

Seorang hamba Allah telah datang berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w. lalu berkata:"Ya Rasulullah , saya sangat-sangat cintakan Tuan." Baginda s.a.w. menjawab:"Eloklah kamu berfikir dengan teliti terlebih dahulu." Kata orang itu:"Saya telah pun berfikir. Saya sangat-sangat kasihkan Tuan, Ya Rasulullah ."Baginda s.a.w. menjawab"Berfikirlah dahulu sebelum membuat ikrar yang sedemikian." Orang itu berkata lagi:"Ya, saya masih cintakan Tuan, Ya Rasulullah." Baginda s.a.w.berkata:"Baiklah, kalau ikrar yang kamu lahirkan tadi betul-betul ikhlas, bersedialah untuk menghadapi kesusahan yang akan menimpa kamu dari segala arah. Orang yang cintakan aku akan dikejar oleh kesusahan secepat air yang mengalir."